Thursday, December 18, 2008

Wednesday, December 17, 2008

Budak Orang Asli Ditahan Polis

17 Disember 2008,Bidor - Semalam kira-kira jam 10.30 pagi bertempat di Jambatan Highway menuju ke kawasan perkampungan Orang Asli. Pihak Polis Bidor telah membuat roadblock. 7 orang budak Orang Asli dari suku kaum Semai yang menaiki van telah ditahan semasa mereka dalam perjalanan menuju ke pekan Bidor. Tanpa sebarang sebab yang munasabah, mereka telah disuruh untuk pergi balai polis Bidor untuk disoalsiasat. 2 kenderaan polis telah mengikut van itu untuk pergi ke balai yang kira-kira 4km jaraknya. 2 orang anggota polis juga telah menaiki van tersebut bersama manakala 2 orang budak Orang Asli itu lagi disuruh menaiki kenderaan polis.
Semasa di balai, 6 orang daripada mereka telah dibawa ke bilik khas untuk disoalsiasat oleh 3 orang anggota polis biasa. Menurut polis yang menyoal siasat mereka itu ialah sebab mereka ditahan ialah kerana ada khabar angin yang menyatakan bahawa akan berlangsung satu perhimpunan haram di Kuala Lumpur pada 18 Disember 2008.
Diluar pejabat pula, 1 orang daripada mereka iaitu budak yang memandu van itu telah disoal oleh 2 orang anggota polis JPJ tentang pemilik van tersebut, kekerapan budak itu memandu van tersebut. Selain daripada itu, semua barang yang mereka bawa di dalam van itu diselongkar termasuklah sayur sawi, tin biskut, ikan masin dalam plastik dan termasuklah isi dalam beg yang mereka bawa iaitu buku nota, pensel dan video kamera. Menurut budak yang memandu van itu, dia sempat terdengar perbualan 2 orang anggota polis JPJ yang menyelongkar barang mereka itu. Mereka bercakap sesama sendiri dengan nada yang agak rendah iaitu sebenarnya tindakan mereka menahan budak-budak itu adalah salah di sisi undang-undang kerana tiada kesalahan yang mereka lakukan. Van dipandu dengan baik dan tidak melanggar sebarang peraturan. Jika perkara ini sampai ke mahkamah, mereka pasti akan dihukum kerana menahan orang awam tanpa sebarang kesalahan.
Budak-budak itu berada di balai polis kira-kira 30 minit dan kemudian dilepaskan. Namun begitu, pihak polis telah mengekori budak-budak itu dari belakang dan memerhatikan budak-budak itu sehingga lewat petang.

Persoalan saya:
Kawan-kawan yang membaca cerita dalam blog ini. Tolong beritahu saya, apakah tugas polis yang sebenarnya? Adakah tugas mereka untuk membanteras jenayah ataupun menjaga tepi kain orang? Adakah tugas mereka untuk menahan sesiapa sahaja yang hendak pergi beli sayur di pasar? Adakah tugas mereka menahan orang hendak pergi berkelah?

Latihan ICT

Pada 17 Disember 2008 bertempat di pejabat SPNS Bidor telah diadakan Latihan ICT untuk para pelatih Pembangun Masyarakat. Latihan ini telah dihadiri oleh 8 orang pelatih. 2 orang daripada tidak dapat mengikuti latihan kerana mereka terpaksa pulang ke kampung. 6 orang staff SPNS bertugas untuk mengajar mereka.

Tujuan latihan ini adalah untuk memperkenalkan peralatan-peralatan ini kepada para pelatih serta cara penggunaan peralatan ini dengan baik. Latihan ict ini merangkumi latihan asas komputer, latihan kamera video, latihan kamera digital dan latihan GPS. Para pelatih ini dibahagikan kepada berlainan latihan.

Latihan ini merupkan pusingan kedua lanjutan daripada pusingan pertama pada bulan yang lalu. Para pelatih bergilir-gilir mengikut giliran untuk mempelajari setiap latihan yang ada.

Latihan ini merupakan bahagian asas atau pengenalan dan ia akan terus dilanjutkan mengikut masa.

Penerimaan para pelatih agak perlahan kerana ini merupakan kali pertama bagi mereka semua mengenali semua peralatan ini. Namun ini bukanlah satu penghalang untu mereka semua agar terus belajar kerana ia sebahagian daripada pengetahuan atau kemahiran yang harus dimiliki oleh seorang pembangun masyarakat.

Monday, December 15, 2008

Persembahan Tarian Sewang

Pada 12 Disember 2008 bertempat di Dewan Cina Bidor jam 9.00 malam, seramai 13 orang dari SPNS telah membuat persembahan. Ia adalah majlis jamuan anjuran Parti Pakatan Rakyat.

Majlis ini telah dihadiri oleh 1600 orang yang terdiri daripada pelbagai kaum iaitu kaum Cina, kaum India, kaum Melayu dan termasuk lah kaum Orang Asli.

Ini merupakan kali pertama Orang Asli dijemput untuk turut sama membuat persembahan di majlis jamuan makan malam seperti ini dan sama-sama makan malam bersama semua orang.

Lagu yang dipersembahkan ialah lagu Wak Bong. Menurut dari salah seorang penari mengatakan bahawa dia agak gementar kerana ini merupakan kali pertama membuat persembahan di hadapan orang ramai yang jumlahnya terlalu ramai.

Pada awal persembahan, semua penari agak kelam kabut dan kekok untuk memulakan rentak tarian. Ada juga yang sudah lupa langkah untuk menari. Ini kerana terlalu ramai orang yang hadir di majlis jamuan itu. Namun penyanyi mereka telah datang ke hadapan dan memulakan gerak langkah tariannya dan dengan cepat semua penari memperbetulkan langkah tarian mereka.

Persembahan ini hanya 5 minit sahaja dan ia mendapat sorakkan dan tepukan yang gemuruh dari para penonton. Walaupun semua orang berasa agak gementar namun ia dapat dipersembahkan dengan keadaan baik.

Wednesday, December 10, 2008

Hari Kanak-Kanak Cemerlang 2008

Pada 4 Disember 2008 bertempat di padang Kg.Chang Lama Sg.Gepai, Bidor telah diadakan sambutan Hari Kanak-kanak Cemerlang bagi Tadika Komuniti di bawah SPNS. Terdapat 3 buah tadika komuniti yang terlibat iaitu Tadika Cahaya Asli Kg.Tekir, Tadika Aslidika Kg.Sg.Bil, Slim River dan Tadika Komuniti SPNS,Kg.Chang Lama.

Seramai 150 orang yang telah hadir di majlis ini. Tetamu yang telah hadir ialah dari Rate Race. Merka merupakan salah sebuah badan yang memberi sumbangan kepada tadika komuniti ini.

Tujuan majlis ini adalah untuk memberi semangat dan dorongan kepada kanak-kanak agar mereka terus berminat untuk bersekolah dan belajar. Ia juga adalah untuk memberi penghargaan yang berbentuk sijil kepada kanak-kanak keranan telah berjaya menghabiskan sekolah tadika mereka.

Majlis ini dijalankan selama sehari sahaja iaitu bermula dari jam 10.00 pagi dan berakhir jam 5.00 petang.

Terdapat banyak acara yang menarik seperti ucapan dari para guru, wakil-wakil yang dijemput, lawatan ke kawasan pameran, persembahan nyanyian dan tarian serta suka ibubapa. Acara yang paling seronok ialah sukan ibubapa. Ini kerana sukan ini terbuka kepada semua ibubapa yang hadir. Diantara sukan yang dipertandingkan ialah mengupas kelapa, mengayam daun bertam dan sukan yang paling seronok ialah suka model bapa. Sukan ini ialah 4 pasangan ibubapa telah dijemput datang ke depan. 3 bungkus pakaian terpakai diletakkan di hadapan mereka. Kemudian diberi masa selama 15 minit untuk ibu membantu memakaikan bapa dengan pakaian yang telah disediakan mengikut kreativiti ibu masing-masing. Cara pemakaian pakaian yang paling menarik akan dikira sebagai pemenang. Sangat seronok dan melucukan kerana ada bapa yang terpaksa memakai skirt pendek. Tetapi yang pasti ia sekadar untuk bergembira sahaja.

Majlis ini berakhir dengan persembahan dari pelatih pembangun masyarakat iaitu mereka menyampaikan 2 buah lagu. Lagu Hilang dari nyanyian Susan Neuvo dan Ayo Mama (JOAS) serta tarian poco-poco. Semua orang menari bersama-sama.

Selesai.

Monday, December 8, 2008

Seminar Kesedaran Orang Asli

Pada 28-29 November 2008 bertempat di Kajang, Selangor. Pihak Parish Integral Human Development Ministry (PIHD) Holy Family Church, Kajang bersama Archdiocesan Office for Human Development (AOHD) Kuala Lumpur telah menganjurkan Seminar Kesedaran Orang Asli bagi penduduk kaum Temuan di Kg.Kechau Dalam dan Kg.Sg.Lalang, Selangor.

Seramai 24 orang peserta telah mengikuti seminar ini iaitu 11 orang lelaki dan 13 orang perempuan.

Bengkel ini telah diselaraskan oleh 3 orang dari komuniti Semai,Perak

Tujuan seminar ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran berkenaan isu-isu tanah, pendidikan, kesihatan dan sosial di kalangan masyarakat Orang Asli.

Sesi yang dijalankan dalam bengkel yang dijalankan selama 2 hari ini ialah bermula dengan sejarah ringkas Orang Asli di Malaysia. Kemudian perbincangan tentang masalah di kampung Orang Asli daerah Kajang yang merangkami isu pendidikan, kesihatan, sosial dan lain-lain. Diikuti dengan kenapa tanah menjadi isu yang serius kepada Orang Asli. Selain daripada itu, isu ekonomi dan pengenalan kepada koperasi juga di kongsikan oleh pihak AOHD sendiri. Isu-isu ini dikaitkan dan dirumuskan bahawa untuk menjadi seorang pembangun masyarakat,kita harus harus tahu tentang sejarah dan latarbelakang kita. Kita juga harus ada taraf pendidikan yang bagus, tahap kesihatan yang baik dan latarbelakang sosial yang sihat.

Semasa bengkel ini juga, ada sesi video dimana seorang pakar tentang isu Orang Asli telah menunjukkan video Kelau Dam dan beberapa gambar dimana Orang Asli pada zaman dahulu iaitu sebelum Malaysia merdeka.

Bengkel ini sangat bagus kerana selain memberi pengetahuan kepada orang lain, tetapi kita sendiri dapat belajar sesuatu yang baru.

Sunday, December 7, 2008

Lawatan Pendedahan Ibu-ibu ke Tompoq Topoh Pulau Carey,Selangor

Pada 25 November 2008, telah berjalan satu aktiviti iaitu Lawatan Pendedahan Ibu-ibu ke Tompoq Topoh Pulau Carey,Selangor. Tempat yang dilawati ialah Kg.Sg.Bumbun dan penduduk kampung ini adalah dari suku kaum Mahmeri. Lawatan ini adalah khas untuk ibu-ibu sahaja. Tetapi semasa lawatan ini, para pelatih Program Membangun Masyarakat telah menyertainya.

Terdapat 20 orang ibu dari 8 buah kampung sekitar kawasan Batang Padang dan 20 orang belia termasuklah dari staff SPNS dan Pelatih Pembangun Masyarakat.

Tujuan lawatan ini adalah sebagai pendedahan kepada semua ibu-ibu dan para belia tentang penggunaan sumber hutan untuk menghasilkan kraftangan yang berkualiti. Selain daripada itu, ia juga adalah untuk perkongsian dan pertukaran maklumat sesama ibu-ibu dan para belia yang terlibat dengan penduduk kampung di kawasan yang dilawati. Lawatan ini dijalankan selama sehari sahaja.

Jam 8.30 pagi bertolak dari Kg.Chang Lama dengan menaiki bas sewa dan sampai di Kg.Sg.Bumbun kira-kira jam 12.00 tengahari.

Semasa lawatan ini, aktiviti pertama yang dijalankan ialah perkongsian mengenai kumpulan Tompoq Topoh dari pengerusi kumpulan iaitu Puan Maznah Unyan. Puan Maznah telah menceritakan tentang penubuhan kumpulan itu dan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan.

Aktiviti yang kedua adalah ibu-ibu dan para belia telah dibawa melawat ke Rumah Moyang. Rumah Moyang yang dibina buat kali kedua pada tahun 1999 selepas kebakaran dari rumah yang pertama. Rumah Moyang ini merupakan tempat bagi penduduk kampung untuk menjalankan upacara sembahyang iaitu sekali dalam setahun selepas Perayaan Tahun Baru Cina.

Aktiviti ketiga pula ialah melihat kebun tanaman mengkuang. Terdapat 6 jenis mengkuang yang ditanam di kawasan itu dan jumlah kesemua mengkuang ialah 700 pokok.

Ibu-ibu juga pergi melihat ukiran kayu yang dijalankan oleh kaum bapa di kawasan tersebut.

Semasa lawatan ini, para ibu dan belia dapat merasai makanan tradisi penduduk di kampung ini. Makanan tradisi mereka agak berbeza dan suku kaum Semai di sekitar kawasan Batang Padang.

Jam 3.30 petang, selepas minum petang para ibu dan belia mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal kepada penduduk kampung. Lawatan ini agak singkat kerana jarak jauh kawasan kampung.

Jam 6.30 petang, sampai di Kg.Chang Lama dan semua orang berehat untuk minum petang. Selepas itu, jam 7.30 malam semua ibu dan belia berkumpul di Tadika SPNS untuk sesi perbincangan hasil dari lawatan tadi dan juga sesi penilaian.

Aktiviti tamat jam 9.30 malam.