Sunday, December 7, 2008

Lawatan Pendedahan Ibu-ibu ke Tompoq Topoh Pulau Carey,Selangor

Pada 25 November 2008, telah berjalan satu aktiviti iaitu Lawatan Pendedahan Ibu-ibu ke Tompoq Topoh Pulau Carey,Selangor. Tempat yang dilawati ialah Kg.Sg.Bumbun dan penduduk kampung ini adalah dari suku kaum Mahmeri. Lawatan ini adalah khas untuk ibu-ibu sahaja. Tetapi semasa lawatan ini, para pelatih Program Membangun Masyarakat telah menyertainya.

Terdapat 20 orang ibu dari 8 buah kampung sekitar kawasan Batang Padang dan 20 orang belia termasuklah dari staff SPNS dan Pelatih Pembangun Masyarakat.

Tujuan lawatan ini adalah sebagai pendedahan kepada semua ibu-ibu dan para belia tentang penggunaan sumber hutan untuk menghasilkan kraftangan yang berkualiti. Selain daripada itu, ia juga adalah untuk perkongsian dan pertukaran maklumat sesama ibu-ibu dan para belia yang terlibat dengan penduduk kampung di kawasan yang dilawati. Lawatan ini dijalankan selama sehari sahaja.

Jam 8.30 pagi bertolak dari Kg.Chang Lama dengan menaiki bas sewa dan sampai di Kg.Sg.Bumbun kira-kira jam 12.00 tengahari.

Semasa lawatan ini, aktiviti pertama yang dijalankan ialah perkongsian mengenai kumpulan Tompoq Topoh dari pengerusi kumpulan iaitu Puan Maznah Unyan. Puan Maznah telah menceritakan tentang penubuhan kumpulan itu dan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan.

Aktiviti yang kedua adalah ibu-ibu dan para belia telah dibawa melawat ke Rumah Moyang. Rumah Moyang yang dibina buat kali kedua pada tahun 1999 selepas kebakaran dari rumah yang pertama. Rumah Moyang ini merupakan tempat bagi penduduk kampung untuk menjalankan upacara sembahyang iaitu sekali dalam setahun selepas Perayaan Tahun Baru Cina.

Aktiviti ketiga pula ialah melihat kebun tanaman mengkuang. Terdapat 6 jenis mengkuang yang ditanam di kawasan itu dan jumlah kesemua mengkuang ialah 700 pokok.

Ibu-ibu juga pergi melihat ukiran kayu yang dijalankan oleh kaum bapa di kawasan tersebut.

Semasa lawatan ini, para ibu dan belia dapat merasai makanan tradisi penduduk di kampung ini. Makanan tradisi mereka agak berbeza dan suku kaum Semai di sekitar kawasan Batang Padang.

Jam 3.30 petang, selepas minum petang para ibu dan belia mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal kepada penduduk kampung. Lawatan ini agak singkat kerana jarak jauh kawasan kampung.

Jam 6.30 petang, sampai di Kg.Chang Lama dan semua orang berehat untuk minum petang. Selepas itu, jam 7.30 malam semua ibu dan belia berkumpul di Tadika SPNS untuk sesi perbincangan hasil dari lawatan tadi dan juga sesi penilaian.

Aktiviti tamat jam 9.30 malam.

1 comment:

Gayathry said...

Laporan yang jitu tentang aktiviti yang berlaku. Tahniah!