Sunday, November 9, 2008

Meditasi Pelatih Program Membangun Masyarakat

Pada 9 November 2008 bertempat di Guel Mengkak, Kampung Chang Sungai Gepai seramai 16 orang peserta yang mengikuti Program Latihan Membangun Masyarakat telah mengadakan aktiviti meditasi. Tujuan aktiviti ini adalah untuk mengimbas atau penilaian diri sepanjang mengikuti program Latihan Membangun Masyarakat.
Seawal jam 8.00 pagi, semua pelatih termasuk jurulatih mula berjalan menuju ke kawasan yang telah di cadangkan. Jarak kawasan Guel Mengkak adalah lebih kurang 1 jam berjalan kaki. Namun ia juga terpulang pada kelajuan berjalan kaki. Ada juga yang mengambil masa 2 jam untuk sampai. Guel Mengkak merupakan kawasan sungai di atas Lubuk Degong. Guel Mengkak adalah kawasan penduduk kampung memancing ikan dan mandi serta berkelah. Kawasan tersebut lebih bersih berbanding Lubuk Degong kerana tiada pengunjung dari luar yang datang ke situ. Para pelatih membawa bekal makanan dan peralatan memasak.

Kira-kira jam 10.30 pagi para pelatih sampai di destinasi dan mereka mula mencari kayu api dan menyediakan makanan.

Pada jam 12.36 tengahari, pelatih berkumpul dan mereka diminta membuat renungan dan meluahkan perasaan masing-masing, segala yang tersirat di dalam hati. Pelatih diminta memilih batu sebagai simbolik diri dan pelatih juga diminta renungkan apa yang ada pada batu. selepas itu, pelatih harus mencerita perasaan mereka berpandukan simbolik daripada batu tersebut.

Setelah selesai, semua pelatih dan jurulatih makan tengahari dan kemudian mereka mandi. Ada juga yang mengambil kesempatan untuk memancing.

Jam 3.00 petang, semua pelatih mengemas barang dan pulang.

Persembahan Tarian Sewang

Pada 8 November 2008 bertempat di hotel Impiana Casuarina Ipoh Perak seramai 9 orang wakil dari SPNS dan 4 orang wakil belia JKOAP (Jaringan Kampung Orang Asli Perak) telah membuat persembahan tarian sewang sempena Perak Bar Annual Dinner. Kesemuanya adalah 13 orang termasuk pemandu van. Jumlah ini kemudian dibahagikan kepada 2 orang sebagai penyanyi, 8 orang sebagai penari dan 3 orang sebagai pemain alat muzik.
Persembahan bermula jam 9.00 malam. Oleh itu para belia bertolak jam 5.00 petang lebih awal supaya masih ada masa untuk berlatih dan sesuaikan diri dengan persekitaran di sana. Van gereja adalah pengangkutan untuk para belia yang membuat persembahan dan ia dipandu oleh staff SPNS sendiri.
Para belia telah membuat 3 jenis persembahan iaitu bermula dengan sedikit lakonan berkaitan dengan kehidupan dan amalan Orang Asli seperti pergi memancing ikan di sungai, pergi ke hutan untuk mencari kayu api, memasang bubu di sungai, melastik tupai, menyumpit monyet dan membuka ladang untuk bercucuk tanam. Lakonan yang tidak lebih dari 1 minit ini diiringi dengan lagu dari album Mak Minah. Selepas itu, tarian sewang bermula dengan lagu Bek bek Baleh dan di akhiri dengan lagu Wak Bong. Kedua-dua lagu ini membawa tarian yang berbeza yang masing-masing mempunyai maksud yang tersendiri.
Peralatan yang digunakan untuk persembahan ini adalah untuk peralatan muzik ialah CD lagu Mak Minah, kayu dan buluh centung. Peralatan untuk lakonan pula ialah kayu pancing, bubuk, kapak kayu, nyiru, raga, sumpit, tikar dan lastik. Manakala untuk peralatan pakaian pulak ialah kain sarung berwarna coklat untuk perempuan dan kain cawat berwarna coklat untuk lelaki. Daun yang digunakan untuk hiasan ialah daun kelapa, pucuk daun bertam muda, daun kuar, daun mengkuang untuk topi dan bunga-bunga untuk hiasan topi. Contengan muka pula ialah buah kesumbe dan bedak biasa.
Persembahan ini mengambil masa dalam sekitar 5 minit dan setelah selesai peserta dijemput untuk makan malam bersama semua tetamu yang hadir tetapi peserta persembahan tidak berada lama di hotel itu kerana terpaksa bergegas pulang oleh sebab masa yang sudah agak lewat malam.
Peserta pulang jam 10.20 malam dan sampai di kampung jam 11.30 malam.

Wednesday, November 5, 2008

Rumah Tradisi

Ini adalah rumah tradisional bagi penduduk suku kaum Hmong di perkampungan Mae Sa Mai, Chiang Mai Thailand. Rumah ini kelihatan sama seperti rumah tradisi Orang Asli Semai di Kg.Chang Lama Sg.Gepai tetapi bahan yang digunakan untuk membuat rumah ini tidak sama. Bahan yang digunakan untuk membuat atap tidak sama iaitu mereka menggunakan daun nipah manakala Orang Asli di kampung saya pulak menggunakan daun bertam.
Gambar ini diambil pada 9 November 2007 semasa menghadiri Regional Dialogue Indigenous Peoples and Natural Resources Management anjuran AIPP dan UNDP Regional Centre in Bangkok.

Hari Kanak-Kanak Cemerlang 2008

Pada 3 November 2008, sekitar jam 6.00 petang guru tadika komuniti dan ibubapa telah mengadakan mesyuarat untuk membincangkan tentang hari kanak-kanak cemerlang yang akan diadakan pada 22 November 2008. Tujuan mesyuarat ini adalah untuk membincangkan tentang persediaan yang perlu disediakan nanti.
Persediaan yang diperlukan adalah padang, pentas, kayu api,tetamu jemputan dan persembahan kanak-kanak. Selain daripada itu, menu makanan juga dibincangkan. Setiap tugas-tugas yang dibincangkan dilantik seorang ketua agar ia mudah dijalankan.
Mesyuarat ini tidak mengambil masa yang panjang kerana keadaan cuaca yang begitu bagus. mesyuarat selesai jam 7.3o malam.

Menerima Kunjungan

Pada 3 November 2008, 6 orang pelawat dari Pusat Bahai,Tapah telah datang melawat Pejabat SPNS di Bidor sekitar jam 4.oo petang. Tujuan lawatan mereka adalah untuk melihat Pejabat SPNS dan ingin berkongsi cerita dengan kakitangan SPNS tentang kerja-kerja pembangunan masyarakat.
Kedatangan mereka yang secara tiba-tiba di sambut oleh 3 kakitangan SPNS yang pada ketika itu masih berada di pejabat. Seorang daripada pelawat itu adalah Naib Censelor Universiti Malaya. Dia ingin mengetahui tentang cerita dan cara-cara untuk menjadi seorang pemimpin masyarakat. Menurutnya lagi, sebelum ini dia tidak pernah mendengar tentang SPNS serta aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Tetapi, dia mendapat tahu tentang hal tersebut dari penduduk Kampung Chang Baru di mana Kampung Chang Baru adalah Kampung yang paling hampir dengan Kampung Chang Lama Sungai Gepai. Maka dia sangat berminat dan ingin tahu lebih mendalam tentang SPNS.
Kakitangan SPNS yang ada semasa lawatan mereka itu berkongsi sedikit sebanyak cerita dan aktiviti dijalankan.
Cerita sejak awal SPNS bermula sehingga nama SPNS diwujudkan dan sehingga SPNS didaftar. Selain itu, aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh SPNS yang lebih memfokuskan kepada masalah-masalah kampung dan komuniti tanpa membezakan agama. Terdapat banyak soalan yang diajukan oleh Naib Censelor itu tentang aktiviti-aktiviti yang dijalankan dan harapan yang dijangkakan hasil daripada aktiviti tersebut. Dia juga ingin mengetahui tentang penerimaan masyarakat kampung tentang SPNS serta aktiviti yang dijalankan.
Secara keseluruhannya, lawatan mereka ini sangat bagus kerana Orang Asli yang terlibat dengan pihak mereka itu sebenarnya sudah lama mengenali dan mengetahui tentang SPNS serta aktiviti yang dijalankan namun mereka tidak berminat untuk melibatkan diri. Semoga dengan lawatan yang telah dianjurkan oleh ketua mereka ini dapat membuka hati dan fikiran mereka tentang kerja-kerja komuniti kerana "Kita memang percayakan kuasa Tuhan. Kita memang patut berdoa dan bersyukur kepada Tuhan dengan segala yang Dia berikan kepada hidup kita selama ini. Kita juga harus berdoa kepada Tuhan agar Dia memberkati kehidupan kita setiap hari. Tetapi kita harus ingat,Tuhan telah memberi kita tangan dan kaki untuk kita berusaha memperbaiki kehidupan kita seharian. Tuhan juga telah memberikan kita akal dan fikiran untuk menyelesaikan masalah yang kita hadapi. Tuhan telah memberi kita segalanya. Kitalah yang perlu menggunakan semua yang kita miliki dengan sebaik-baiknya untuk memperjuangkan nasib kehidupan kita sebagai Orang Asli/Asal."

Sunday, November 2, 2008

Indigenous Knowledge Website

Kepada yang melayari blog ini. Anda juga boleh melihat laman web yang telah lama dihasilkan namun ia tidak diketahui oleh semua orang. Laman web ini mengandungi banyak cerita yang berkaitan dengan sejarah dan cerita-cerita lama masyarakat Orang Asli suku kaum Semai di Kampung Chang Lama Sungai Gepai.

http://www.ik.net.my/index_bm.php

Jika anda mempunyai masa yang terluang, rajin-rajin lah membuka laman web tersebut.

Latihan Membangun Masyarakat

Latihan Membangun Masyarakat ini adalah salah satu aktiviti yang dijalankan di Kampung Chang Lama Sungai Gepai. Latihan ini telah melibatkan seramai 13 orang belia dari perkampungan Orang Asli Semai di sekitar kawasan Perak. Tujuan latihan ini adalah untuk membina kesedaran kepada masyarakat Orang Asli serta membina struktur yang berasaskan rakyat.
Sesi orentasi bagi latihan ini telah dijalankan pada 13 Oktober 2008 hingga 31 Oktober 2008. Objektif pertama bagi sesi orentasi ini adalah membina keupayaan golongan muda untuk melibatkan diri dengan masyarakat secara aktif serta menggalakkan kerjasama antara orang muda dan orang tua bagi membantu ke arah yang lebih sistematik dalam komuniti. Objektif yang kedua pula adalah untuk belajar berdikari tanpa mengharapkan bantuan daripada orang lain dalam pelbagai isu yang dihadapi.
13 orang belia yang mengikuti latihan ini adalah belia yang telah dipilih oleh penduduk dari setiap kampung itu sendiri dimana mereka mewakili kampung masing-masing dan diharapkan agar kelak belia-belia ini dapat membantu memimpin masyarakat di kampung masing-masing.
Latihan ini dijalankan di Kampung Chang Lama Sungai Gepai kerana kampung ini merupakan kampung yang strategik dan berhampiran dengan pekan yang dikenali sebagai Pekan Bidor. Kampung ini mempunyai struktur jalan yang bagus dan mudah dilalui oleh sebarang kenderaan. Kampung ini juga mempunyai tempat yang sederhana dan selesa untuk menjalankan sebarang aktiviti seperti bengkel dan mesyuarat.
Semasa sesi orentasi yang telah dijalankan, aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah lebih kepada sesi pengenalan program dan sesi suaikenal diantara peserta. Belia-belia ini dididik untuk melakukan semua kerja-kerja seperti memasuh,memasak,membersihkan tempat tidur,membersihkan tempat latihan secara bersama. Selain itu, mereka didisplinkan untuk bangun awal pada setiap pagi. Sesi yang paling penting bagi sesi orentasi ini adalah para belia diajar dan dilatih untuk berkomunikasi dan bercakap di hadapan semua orang. Ini adalah untuk meningkatkan keberanian mereka untuk berhadapan dengan masyarakat. Setiap hari selama dalam latihan, peserta sentiasa diberi teguran untuk terus mempertingkatkan kemahiran mereka untuk bercakap secara matang dan yakin.
Secara keseluruhannya, sesi orentasi ini baru sahaja selesai dan para peserta akan bermula kembali dengan sesi latihan yang seterusnya pada bulan November tahun ini.