Tuesday, April 28, 2009

Kes Pengambilan Tanah Sebanyak 500 ekar di Kampung Tisong

Pada 29 April 2009-jam 10.41 pagi, bertempat di Kampung Tisong, Sungkai. PPPNP (Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak) telah berbincangn dengan penduduk kampung mengenai pengambilan tanah sebanyak 500 ekar di sempadan antara Kampung Tisong dan Kampung Gerhus, Sungkai Perak.

Pihak yang terlibat dalam perbincangan ini adalah wakil dari PPPNP iaitu Ah Sing (Cina), Ahmad Sabri Bin Husin, Muhammad Asmali Bin Muhammad Ali, Abdul Ghani Bin Ismail, Said Bin Yasin dan 42 orang penduduk kampung. Mereka telah menaiki 3 buah kenderaan iaitu Toyota Hilux berwarna putih dengan nombor plet kenderaan AFT 4023, Pajero berwarna hitam nombor plet kenderaan AFB 6567 dan Toyota Hilux berwarna kelabu bernombor plet AGP 5893.

Perbincangan ini telah diadakan di pondok yang sememangnya digunakan untuk sebarang perbincangan oleh penduduk kampung.

Wakil dari PPPNP mengatakan bahawa tanah adat Kampung Tisong sebanyak 500 ekar telah diluluskan oleh Pengurus PPPNP untuk Projek Tanaman Getah.

Penduduk kampung membantah keputusan tersebut dan menegaskan bahawa tanah itu tanah adat penduduk kampung yang telah diwarisi dari nenek moyang dahulu secara turun temurun.

Menurut Bek Selibah yang berusia sekitar 50 an yang merupakan penduduk asal di Kampung Tisong mengatakan bahawa masalah Orang Asli sekarang berbeza dengan masalah yang dulu-dulu (sebelum bermulanya zaman penjajahan). Jika dahulu Orang Asli tinggal setempat dan tiada siapa yang datang mengganggu serta menghalau Orang Asli untuk berpindah ke tempat yang lain. Namun pada zaman ini, kehidupan Orang Asli sering di ganggu oleh orang luar dan di halau seperti binatang. Seharusnya orang luar yang masuk ke kampung dengan pelbagai tujuan haruslah berjumpa dengan ketua kampung terlebih dahulu. Jika di bandar, ada undang-undang bandar maka begitu juga di kampung yang mempunyai hukum adat dan sebagainya. Di kampung ia di bawah jagaan Ketua Kampung. Walaupun Ketua Kampung tidak bersekolah tetapi ia harus dihormati oleh orang luar yang datang masuk ke kampung. Ibarat kata,"jika IC kita jatuh, kita harus melaporkannya kepada siapa? JHEOA? RISDA? Sudah tentu pihak POLIS. Begitu juga dengan orang kampung. Orang luar tidak harus menceroboh masuk begitu sahaja namun mereka harus meminta kebenaran dari ketua kampung terlebih dahulu. Setuju atau tidak ia bergantung kepada keputusan ketua kampung dan orang kampung.

Bah Putih yang merupakan salah seorang penduduk kampung juga mengatakan bahawa Orang Asli tidak pernah menjual tanah dan menjual orang. Pada masa sekarang cuba kita lihat perkara yang berlaku di bandar. Siapakah yang menjual tanah dan siapakah yang menjual orang? Orang Asli atau Orang Bandar? Orang Asli miskin dan kaya di dalam hutan sahaja. Orang Asli tidak pernah meminta sedekah kepada siapa-siapa. Ketua kampung serta penduduk kampung membantah keputusan ini kerana bukan sahaja tanaman yang terdapat di kawasan kampung tetapi kampung inilah tempat asal usul, sejarah, kubur nenek moyang dan tempat mencari sumber pendapatan penduduk kampung serta yang paling penting kerana itu merupakan tanah adat penduduk kampung. Bah Putih menegaskan sekali lagi bahawa tanah Orang Asli diambil tanpa pengetahuan dan perbincangan dengan Ketua Kampung dan penduduk kampung.

PPPNP menjawab bahawa jika penduduk kampung masih juga membantah, PPPNP meminta 100 ekar tanah dan akan memberi sebanya RM100.00 kepada setiap seorang penduduk kampung. Jumlah tanah yang selebihnya boleh lah penduduk kampung berikan kepada Suki Mee dari YOAP (Yayasan Orang Asli Perak) untuk sebarang projek yang ingin dijalankan oleh penduduk kampung.

Wakil PPPNP mengajak penduduk kampung untuk melihat kawasan yang akan mereka ambil namun perkara tersebut tidak dipersetujui oleh penduduk kampung. Maka wakil PPPNP mengatakan bahawa perkara ini akan ditangguhkan seketika. Mereka akan pulang dan berbincang sesama mereka dan mereka akan datang kembali untuk berunding dengan penduduk kampung sekali lagi.

Wakil PPPNP menyarankan kepada Bah Putih agar penduduk kampung dapat memikirkan sekali lagi tentang tawaran RM100.00 setiap seorang penduduk bagi tanah 100 ekar yang PPPNP cadangkan semasa penbincangan tadi. Namun Bah Putih sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak dapat berbuat demikian kerana keputusan terletak di tangan ketua kampung dan juga semua penduduk Kampung Tisong. Perbincangan tamat.

Tinjauan ke Kawasan Tanaman Mengkuang di Kelweg

Pada 26 April 2009, aktiviti tinjauan ke kawasan penanaman mengkuang di kawasan kelweg telah dijalankan pada jam 4.30 petang. Hanya 2 orang ibu-ibu sahaja yang terlibat serta beberapa orang pelatih Latihan Membangun Masyarakat.

Aktiviti ini merupakan tindakan susulan daripada aktiviti menanam mengkuang di kawasan Kelweg. Ini kerana mengkuang yang ditanam dahulu telah pun tumbuh membesar namun kawasan sekelilingnya agak semak dan perlu dibersihkan.

Ibu-ibu berjalan kaki pergi ke tempat itu yang kira-kira 30 minit untuk sampai. Peralatan yang dibawa adalah parang dan air serta alat kelengkapan yang lain. Tidak banyak kerja yang perlu dibuat kerana kawasan penanaman mengkuang itu tidak luas. Cuma kerja-kerja menebas sahaja dan menandakan pokok mengkuang yang masih kecil agar tidak dipijak.

Aktiviti ini tidak mangambil masa yang yang panjang. Sekitar jam 6.00 petang, ibu-ibu pun pulang ke rumah.

Bengkel ICT (Membina Blog)

Pada 15-16 April 2009, bertempat di Pejabat Biih,Kuching Sarawak telah diadakan lanjutan Bengkel ICT (Membina Blog) yang pernah dijalankan pada bulan Oktober 2008 di tempat yang sama. 18 orang peserta merangkumi Sabah,Sarawak dan Semenanjung telah terlibat dalam bengkel ini. Kebanyakkannya adalah peserta adalah peserta yang telah mengikuti bengkel pada bulan Oktober dan ada juga beberapa peserta baru yang mengikuti bengkel ini.

Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk latihan membina keupayaan ahli-ahli JOAS (Jaringan Orang Asal SeMalaysia) dalam menggunakan alat-alat telekomunikasi masakini. Ia juga merupakan susula bagi latihan ICT yang telah diadakan pada bulan Oktober 2008 dan bengkel ini di bawah pembiayaan JOAS sendiri.

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan dalam bengkel ini adalah lebih kepada imbasan tentang topik yang telah dipelajari pada bengkel yang lalu. Proses mengulangkaji dari topik yang pertama iaitu membuat kenyataan media, perkara-perkara penting yang harus ada dalam kenyataan media dan saluran media yang dapat menerima dan menyiarkan laporan tersebut.

Terdapat kerja berkumpulan mengikut kawasan iaitu perbincangan mengenai kes-kes yang berlaku di kawasan masing-masing dan cara untuk membuat kenyataan media mengenai kes yang berlaku itu.

Seterusnya adalah ulangkaji tentang pembinaan blog kerana ramai peserta yang mengikuti bengkel pada bulan Oktober yang lalu masih belum membina blog. Terdapat juga peserta yang telah pun mempunyai blog sendiri namun tidak mengemaskinikan blog mereka.

Selain daripada itu, peserta dari Brimas,Sarawak telah mengajar peserta yang lain tentang cara-cara memasukkan video dalam blog dan cara mengambil video dari YouTube.

Secara keseluruhannya, bengkel ini sangat bagus. Cabaran agak kurang kerana semua keperluan telah disediakan oleh pihak penganjur. Maka bengkel ini dapat berjalan dengan lancar sehingga hari yang terakhir bengkel ini.

Sunday, April 12, 2009

Bengkel Penggerak Masyarakat

Pada 19-21 Mac 2009, bertempat di Banglow Brother,Pantai Kundur Melaka. Satu bengkel yang dinamakan Bengkel Penggerak Masyarakat telah dijalankan. Bengkel ini telah disertai oleh 30 orang peserta, diselaraskan oleh 9 orang penyelaras dan 4 orang sumber telah dijemput untuk memberi perkongsian sesi.

Terdapat 3 negeri yang telah terlibat dalam bengkel ini iaitu Perak dan JKOAP sebagai pihak penganjur bengkel dan juga peserta,Pahang dan Negeri Sembilan.

Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk membawa semua orang yang telah berperanan sebagai penggerak masyarakat di kampung masing-masing untuk berkongsi cerita, pengalaman dan berbincang serta membuat perancangan seterusnya ke arah mendidik, menyatupadu dan menggerak masyarakat Orang Asli kepada satu perjuangan dan wawasan.

Peserta yang mengikuti bengkel ini terbahagi kepada dua peringkat iaitu sebahagian peserta pernah mengikuti bengkel dan mereka sangat aktif di kampung dengan tugas-tugas menggerakkan masyarakat di kampung dan satu bahagian lagi adalah mereka yang memang tidak pernah menyertai bengkel dan langsung tidak sedar tentang masalah yang sedang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli.

Terdapat 12 sesi dalam bengkel yang dijalankan selama 3 hari ini. Kesemua sesi itu saling berpaut dan memberi banyak maklumat serta kesedaran dan manfaat kepada semua peserta yang menyertai bengkel ini. Bengkel ini dijalankan secara santai dan diselang-selikan dengan aktiviti bermain sambil belajar agar peserta tidak merasa tertekan dan bosan.

Bengkel ini telah dijalankan dengan bantuan pendanaan dari beberapa pihak seperti JOAS, KAS dan ARUBUMI.

Terdapat banyak cabaran yang dihadapi sepanjang bengkel ini berjalan. Diantaranya ialah masalah kenderaan, tersesat jalan dan banyak lagi. Namun perkara-perkara ini bukanlah sesuatu yang boleh menjatuhkan semangat para peserta dan pihak penganjur untuk menghentikan perjalanan bengkel.

Secara keseluruhannya, bengkel ini dapat dijalankan dengan keadaan yang seba sederhana namun ia amat bermakna dan bermanfaat.

Syabas diucapakan kepada semua yang telah menjayakan bengkel ini!

Thursday, April 2, 2009

Majlis Penyampaian Sijil PLMM SPNS 1(08-09)

31 Mac 2009 bertempat di Dewan Tadika Pusat Latihan SPNS,Kg.Chang Sg.Gepai Bidor. SPNS telah mengadakan Majlis Penyampaian Sijil bagi pelatih dan jurulatih untuk Program Latihan Membangun Masyarakat SPNS 1 sesi 2008-2009.
Seramai 60 lebih orang yang telah hadir ke majlis ini iaitu ibubapa para pelatih dan juga wakil-wakil kampung yang dijemput. Selain daripada itu, Penolong Penghulu Kg.Chang Sg.Gepai iaitu Bah Rintang juga turut hadir dan Penghulu dari Kg.Gesau,Slim River iaitu Bah Gaharai juga hadir untuk membero sokongan.
Majlis ini bermula dari jam 8.30 malam dan berakhir pada jam 10.30 malam. Pada awalnya ia dirancang bermula jam 7.30 malam dan berakhir jam 9.30 malam namun ia terpaksa dimulakan lewat kerana menunggu kehadiran orang-orang kampung dan ada juga yang masih makan dan sebagainya.
Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk memberi sijil sebagai penghargaan kepada para pelatih dan jurulatih kerana berjaya menghabiskan latihan ini yang telah dijalankan selama 6 bulan. Ia juga adalah untuk menarik perhatian masyarakat kampung terutamanya para belia yang masih kurang sedar dan tidak tahu tentang program ini.
Banyak acara-acara menarik yang dapat diselitkan dalam masa yang agak singkat ini seperti ucapan daripada ketua jurulatih, wakil-wakil kampung serta nasihat dan harapan dari Institusi Mairaknak yang lebih berpengalaman dalam hal-hal kampung. Selain daripada itu, terdapat juga persembahan tarian dari belia SPNS serta pelatih itu sendiri.
Walaupun majlis ini kelihatannya agak kecil dan ringkas namun ia meriah kerana mendapat sokongan dari ibubapa pelatih masing-masing serta penduduk Kg.Chang sendiri.
Saya yang bertugas sebagai pengacara majlis pada malam itu merasa bangga kerana kami dapat jayakan majlis pada malam itu.