Tuesday, April 28, 2009

Kes Pengambilan Tanah Sebanyak 500 ekar di Kampung Tisong

Pada 29 April 2009-jam 10.41 pagi, bertempat di Kampung Tisong, Sungkai. PPPNP (Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak) telah berbincangn dengan penduduk kampung mengenai pengambilan tanah sebanyak 500 ekar di sempadan antara Kampung Tisong dan Kampung Gerhus, Sungkai Perak.

Pihak yang terlibat dalam perbincangan ini adalah wakil dari PPPNP iaitu Ah Sing (Cina), Ahmad Sabri Bin Husin, Muhammad Asmali Bin Muhammad Ali, Abdul Ghani Bin Ismail, Said Bin Yasin dan 42 orang penduduk kampung. Mereka telah menaiki 3 buah kenderaan iaitu Toyota Hilux berwarna putih dengan nombor plet kenderaan AFT 4023, Pajero berwarna hitam nombor plet kenderaan AFB 6567 dan Toyota Hilux berwarna kelabu bernombor plet AGP 5893.

Perbincangan ini telah diadakan di pondok yang sememangnya digunakan untuk sebarang perbincangan oleh penduduk kampung.

Wakil dari PPPNP mengatakan bahawa tanah adat Kampung Tisong sebanyak 500 ekar telah diluluskan oleh Pengurus PPPNP untuk Projek Tanaman Getah.

Penduduk kampung membantah keputusan tersebut dan menegaskan bahawa tanah itu tanah adat penduduk kampung yang telah diwarisi dari nenek moyang dahulu secara turun temurun.

Menurut Bek Selibah yang berusia sekitar 50 an yang merupakan penduduk asal di Kampung Tisong mengatakan bahawa masalah Orang Asli sekarang berbeza dengan masalah yang dulu-dulu (sebelum bermulanya zaman penjajahan). Jika dahulu Orang Asli tinggal setempat dan tiada siapa yang datang mengganggu serta menghalau Orang Asli untuk berpindah ke tempat yang lain. Namun pada zaman ini, kehidupan Orang Asli sering di ganggu oleh orang luar dan di halau seperti binatang. Seharusnya orang luar yang masuk ke kampung dengan pelbagai tujuan haruslah berjumpa dengan ketua kampung terlebih dahulu. Jika di bandar, ada undang-undang bandar maka begitu juga di kampung yang mempunyai hukum adat dan sebagainya. Di kampung ia di bawah jagaan Ketua Kampung. Walaupun Ketua Kampung tidak bersekolah tetapi ia harus dihormati oleh orang luar yang datang masuk ke kampung. Ibarat kata,"jika IC kita jatuh, kita harus melaporkannya kepada siapa? JHEOA? RISDA? Sudah tentu pihak POLIS. Begitu juga dengan orang kampung. Orang luar tidak harus menceroboh masuk begitu sahaja namun mereka harus meminta kebenaran dari ketua kampung terlebih dahulu. Setuju atau tidak ia bergantung kepada keputusan ketua kampung dan orang kampung.

Bah Putih yang merupakan salah seorang penduduk kampung juga mengatakan bahawa Orang Asli tidak pernah menjual tanah dan menjual orang. Pada masa sekarang cuba kita lihat perkara yang berlaku di bandar. Siapakah yang menjual tanah dan siapakah yang menjual orang? Orang Asli atau Orang Bandar? Orang Asli miskin dan kaya di dalam hutan sahaja. Orang Asli tidak pernah meminta sedekah kepada siapa-siapa. Ketua kampung serta penduduk kampung membantah keputusan ini kerana bukan sahaja tanaman yang terdapat di kawasan kampung tetapi kampung inilah tempat asal usul, sejarah, kubur nenek moyang dan tempat mencari sumber pendapatan penduduk kampung serta yang paling penting kerana itu merupakan tanah adat penduduk kampung. Bah Putih menegaskan sekali lagi bahawa tanah Orang Asli diambil tanpa pengetahuan dan perbincangan dengan Ketua Kampung dan penduduk kampung.

PPPNP menjawab bahawa jika penduduk kampung masih juga membantah, PPPNP meminta 100 ekar tanah dan akan memberi sebanya RM100.00 kepada setiap seorang penduduk kampung. Jumlah tanah yang selebihnya boleh lah penduduk kampung berikan kepada Suki Mee dari YOAP (Yayasan Orang Asli Perak) untuk sebarang projek yang ingin dijalankan oleh penduduk kampung.

Wakil PPPNP mengajak penduduk kampung untuk melihat kawasan yang akan mereka ambil namun perkara tersebut tidak dipersetujui oleh penduduk kampung. Maka wakil PPPNP mengatakan bahawa perkara ini akan ditangguhkan seketika. Mereka akan pulang dan berbincang sesama mereka dan mereka akan datang kembali untuk berunding dengan penduduk kampung sekali lagi.

Wakil PPPNP menyarankan kepada Bah Putih agar penduduk kampung dapat memikirkan sekali lagi tentang tawaran RM100.00 setiap seorang penduduk bagi tanah 100 ekar yang PPPNP cadangkan semasa penbincangan tadi. Namun Bah Putih sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak dapat berbuat demikian kerana keputusan terletak di tangan ketua kampung dan juga semua penduduk Kampung Tisong. Perbincangan tamat.

No comments: