Friday, March 20, 2009

Adakah Ini Permulaan Kemusnahan?


17 Mac 2009 jam 10.25 pagi bertempat di Kampung Chang Sungai Gepai. Ketika 5 orang bapa sedang sibuk mengukur keluasan tapak dewan kampung dan 2 orang ibu sedang melayur mengkuang, datang dua orang luar yang tidak dikenali. Mereka dihantar oleh penghulu Kampung Chang Baru iaitu kampung yang bersebelahan dengan Kampung Chang Sungai Gepai. Penghulu tersebut memberitahu bahawa dua orang luar itu ingin bertemu dengan ketua kampung di kampung itu untuk membincangkan tentang hal tanah. Maka penghulu itu telah menghantar mereka ke Kampung Chang Sungai Gepai kerana Kampung Chang Sungai Gepai merupakan kampung asal di kawasan tersebut.

Seorang daripadanya memperkenalkan dirinya dengan nama Mat dan seorang lagi tidak memberitahu namanya. Mat berbangsa Melayu dan seorang lagi berbangsa Cina. Mereka datang dari Ipoh dengan menaiki kereta Pajero Kelabu bernombor BDV7915.

Tujuan mereka datangn adalah untuk bertanya perihal kawasan tanah di kawasan atas air terjun. Menurut mereka kawasan itu adalah tanah kerajaan dan mereka hendak membalaknya. Oleh itu mereka ingin meminta kebenaran penduduk kampung di situ untuk mengambil dan mengeluarkan balak dari kawasan tersebut.

Bek Sima selaku pengerusi pertubuhan kampung menegaskan bahawa secara terus terang penduduk kampung tidak membenarkan kawasan itu dibalak. Tiada tanah kerajaan di kawasan itu. Bagi penduduk kampung yang telah lama tinggal di kawasan ini menganggap itu adalah tanah adat Kampung Chang Sungai Gepai. Terdapat banyak cerita dan sejarah di kawasan itu. Terdapat juga kubur-kubur nenek moyang di kawasan itu. Maka penduduk kampung memang tidak membenarkan pihak luar membalak di akwasan itu.

Beberapa orang penduduk kampung termasuk penghulu Kampung Chang Sungau Gepai yang sedang menjalankan tugas harian mereka mula datang ke tempat perbincangan itu untuk turut mendengar perkara-perkara yang hendak dibincangkan namun dua orang luar itu tidak mahu berada lama di situ. Mereka bergegas pulang kerana kononnya ada tugas di Ipoh. Mereka pulang jam 10.38 pagi.

Thursday, March 19, 2009

Salam Sejahtera

Salam sejahtera kepada para pelayar setia blog ini. Saya memohon maaf kerana telah senyap untuk beberapa tempoh yang agak lama. Ini kerana saya telah bertugas di luar kawasan pejabat maka masa untuk saya menambah cerita dalam blog ini agak kurang. Namun saya tidak akan menghampakan anda semua di luar sana. Saya akan memasukkan cerita-cerita yang penting yang berlaku di kampung kini dan di masa-masa yang seterusnya.
Semoga para pelayar setia di luar sana dapat bersabar.
Sekian.

Sunday, January 25, 2009

Bengkel Latihan untuk Jurulatih

Pada 19-21 Januari 2009, bertempat di Tadika Komuniti Kg.Chang Lama Sg.Gepai telah dijalankan 1 bengkel iaitu Bengkel Latihan untuk Jurulatih. Bengkel ini telah disertai oleh 5 orang staff SPNS dan mampu untuk menjadi seorang jurulatih. Bengkel ini telah diselaraskan oleh 2 orang ketua jurulatih dari Sabah.
Tujuan bengkel ini adalah untuk melatih para jurulatih berkenaan cara-cara untuk melatih para pelatih yang kini sedang menjalankan latihan membangun masyarakat di tempat yang sama.
Ketika menjalankan bengkel ini, para pelatih yang sedang mengikuti latihan ini telah pergi ke sesi lawatan pendedahan di lapangan iaitu di 2 kawasan. Kawasan yang pertama ialah Kg.Ulu Geroh,Gopeng dan manakala kawasan yang kedua ialah Kg.Pos Bersih. Kedua-dua kawasan ini dipilih sebagai tempat lawatan pendedahan kerana kawasan ini mempunyai isu yang sangat bagus untuk didedahkan kepada para pelatih yang baru dan memerlukan pendedahan tentang isu-isu yang realiti yang dihadapi oleh komuniti Orang Asli sendiri.
Lawatan ini memberi ruang kepada para jurulatih untuk menjalankan bengkel ini sebagai langkah untuk memperbaiki cara-cara melatih dan mendidik pelatih.
Saya penulis blog ini adalah juga merupakan salah satu dari kumpulan jurulatih tersebut. Bagi saya, bengkel ini sangat bagus dan memberi ruang baru dalam hidup serta tugas saya sebagai seorang pembangun masyarakat. Bagi saya, ini merupakan peluang yang tidak mungkin saya perlu lepaskan kerana peluang yang akan memberi saya banyak pengalaman serta pelajaran yang tidak akan saya perolehi dimana-mana pusat pengajian tinggi pun.
Bengkel ini dijalankan dalam masa yang agak singkat namun semua topik sesi yang dijalankan sangat bagus. Walaupun kelihatannya agak sukar dan susah namun itu bukanlah sesuatu yang boleh menghalang daripada melakukan tugas sebagai seorang jurulatih pelatih membangun masyarakat.

Tuesday, January 13, 2009

Bengkel Dokumentasi Grafik

Pada 12 Januari 2009, bertempat di Tadika Komuniti SPNS Kg.Chang Lama telah berjalan satu bengkel yang dinamakan Bengkel Dokumentasi Grafik. Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk mempelajari tentang teknik menghasilkan rekabentuk grafik dengan menggunakan komputer. 2 perisian telah digunakan iaitu Microsoft Publisher dan Adobe Photoshop. Microsoft Publisher digunakan untuk membuat flyers dan brochure manakala Adobe Photoshop digunakan untuk mengedit gambar.

Bengkel ini dijalankan selama 2 hari yang dikendalikan oleh 2 orang jurulatih iaitu Afida dan Fiqty dari Organisasi Pakatan Baju Rakyat.

Seramai 10 orang belia telah mengikuti bengkel ini. Mereka terdiri dari pelatih pembangun masyarakat dan kakitangan SPNS.

Menurut salah satu belia yang mengikuti bengkel ini, dia mengatakan bahawa bengkel ini sangat bagus kerana ini merupakan pengalaman yang pertama menggunakan komputer untuk membuat flyers.

Selain daripada itu, belia amat seronok ketika belajar menggunakan perisian Adobe Photoshop kerana mereka boleh mengubah gambar dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

Di hujung pembelajaran, para belia di nasihatkan agar terus mempraktikkan topik-topik yang telah dipelajari agar mereka tidak lupa.

Tuesday, January 6, 2009

Selamat Tahun Baru 2009

Selamat Tahun Baru 2009 kepada para pelayar setia blog ini. Semoga di tahun baru ini akan memberi semangat yang baru dan perubahan baru yang lebih baik kepada kita semua. Saya penulis blog ini memohon maaf jika sepanjang tahun lepas terdapat penulisan yang kurang memuaskan dan isi-isi yang kurang menyenangkan.

Apakah azam kita pada tahun ini? :-) Apapun yang kita impikan atau harapkan itu semoga dapat kita laksanakan dan capaikan pada tahun ini nanti.

Kepada para pelayar setia blog ini, terima kasih kerana anda setia dan selalu menyokong saya. Saya sangat gembira. Semoga Tuhan akan sentiasa memberkati kehidupan anda semua dan tugas-tugas anda semua lakukan.

Selamat Tahun Baru.

Thursday, December 18, 2008

Wednesday, December 17, 2008

Budak Orang Asli Ditahan Polis

17 Disember 2008,Bidor - Semalam kira-kira jam 10.30 pagi bertempat di Jambatan Highway menuju ke kawasan perkampungan Orang Asli. Pihak Polis Bidor telah membuat roadblock. 7 orang budak Orang Asli dari suku kaum Semai yang menaiki van telah ditahan semasa mereka dalam perjalanan menuju ke pekan Bidor. Tanpa sebarang sebab yang munasabah, mereka telah disuruh untuk pergi balai polis Bidor untuk disoalsiasat. 2 kenderaan polis telah mengikut van itu untuk pergi ke balai yang kira-kira 4km jaraknya. 2 orang anggota polis juga telah menaiki van tersebut bersama manakala 2 orang budak Orang Asli itu lagi disuruh menaiki kenderaan polis.
Semasa di balai, 6 orang daripada mereka telah dibawa ke bilik khas untuk disoalsiasat oleh 3 orang anggota polis biasa. Menurut polis yang menyoal siasat mereka itu ialah sebab mereka ditahan ialah kerana ada khabar angin yang menyatakan bahawa akan berlangsung satu perhimpunan haram di Kuala Lumpur pada 18 Disember 2008.
Diluar pejabat pula, 1 orang daripada mereka iaitu budak yang memandu van itu telah disoal oleh 2 orang anggota polis JPJ tentang pemilik van tersebut, kekerapan budak itu memandu van tersebut. Selain daripada itu, semua barang yang mereka bawa di dalam van itu diselongkar termasuklah sayur sawi, tin biskut, ikan masin dalam plastik dan termasuklah isi dalam beg yang mereka bawa iaitu buku nota, pensel dan video kamera. Menurut budak yang memandu van itu, dia sempat terdengar perbualan 2 orang anggota polis JPJ yang menyelongkar barang mereka itu. Mereka bercakap sesama sendiri dengan nada yang agak rendah iaitu sebenarnya tindakan mereka menahan budak-budak itu adalah salah di sisi undang-undang kerana tiada kesalahan yang mereka lakukan. Van dipandu dengan baik dan tidak melanggar sebarang peraturan. Jika perkara ini sampai ke mahkamah, mereka pasti akan dihukum kerana menahan orang awam tanpa sebarang kesalahan.
Budak-budak itu berada di balai polis kira-kira 30 minit dan kemudian dilepaskan. Namun begitu, pihak polis telah mengekori budak-budak itu dari belakang dan memerhatikan budak-budak itu sehingga lewat petang.

Persoalan saya:
Kawan-kawan yang membaca cerita dalam blog ini. Tolong beritahu saya, apakah tugas polis yang sebenarnya? Adakah tugas mereka untuk membanteras jenayah ataupun menjaga tepi kain orang? Adakah tugas mereka untuk menahan sesiapa sahaja yang hendak pergi beli sayur di pasar? Adakah tugas mereka menahan orang hendak pergi berkelah?