Sunday, April 12, 2009

Bengkel Penggerak Masyarakat

Pada 19-21 Mac 2009, bertempat di Banglow Brother,Pantai Kundur Melaka. Satu bengkel yang dinamakan Bengkel Penggerak Masyarakat telah dijalankan. Bengkel ini telah disertai oleh 30 orang peserta, diselaraskan oleh 9 orang penyelaras dan 4 orang sumber telah dijemput untuk memberi perkongsian sesi.

Terdapat 3 negeri yang telah terlibat dalam bengkel ini iaitu Perak dan JKOAP sebagai pihak penganjur bengkel dan juga peserta,Pahang dan Negeri Sembilan.

Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk membawa semua orang yang telah berperanan sebagai penggerak masyarakat di kampung masing-masing untuk berkongsi cerita, pengalaman dan berbincang serta membuat perancangan seterusnya ke arah mendidik, menyatupadu dan menggerak masyarakat Orang Asli kepada satu perjuangan dan wawasan.

Peserta yang mengikuti bengkel ini terbahagi kepada dua peringkat iaitu sebahagian peserta pernah mengikuti bengkel dan mereka sangat aktif di kampung dengan tugas-tugas menggerakkan masyarakat di kampung dan satu bahagian lagi adalah mereka yang memang tidak pernah menyertai bengkel dan langsung tidak sedar tentang masalah yang sedang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli.

Terdapat 12 sesi dalam bengkel yang dijalankan selama 3 hari ini. Kesemua sesi itu saling berpaut dan memberi banyak maklumat serta kesedaran dan manfaat kepada semua peserta yang menyertai bengkel ini. Bengkel ini dijalankan secara santai dan diselang-selikan dengan aktiviti bermain sambil belajar agar peserta tidak merasa tertekan dan bosan.

Bengkel ini telah dijalankan dengan bantuan pendanaan dari beberapa pihak seperti JOAS, KAS dan ARUBUMI.

Terdapat banyak cabaran yang dihadapi sepanjang bengkel ini berjalan. Diantaranya ialah masalah kenderaan, tersesat jalan dan banyak lagi. Namun perkara-perkara ini bukanlah sesuatu yang boleh menjatuhkan semangat para peserta dan pihak penganjur untuk menghentikan perjalanan bengkel.

Secara keseluruhannya, bengkel ini dapat dijalankan dengan keadaan yang seba sederhana namun ia amat bermakna dan bermanfaat.

Syabas diucapakan kepada semua yang telah menjayakan bengkel ini!

Thursday, April 2, 2009

Majlis Penyampaian Sijil PLMM SPNS 1(08-09)

31 Mac 2009 bertempat di Dewan Tadika Pusat Latihan SPNS,Kg.Chang Sg.Gepai Bidor. SPNS telah mengadakan Majlis Penyampaian Sijil bagi pelatih dan jurulatih untuk Program Latihan Membangun Masyarakat SPNS 1 sesi 2008-2009.
Seramai 60 lebih orang yang telah hadir ke majlis ini iaitu ibubapa para pelatih dan juga wakil-wakil kampung yang dijemput. Selain daripada itu, Penolong Penghulu Kg.Chang Sg.Gepai iaitu Bah Rintang juga turut hadir dan Penghulu dari Kg.Gesau,Slim River iaitu Bah Gaharai juga hadir untuk membero sokongan.
Majlis ini bermula dari jam 8.30 malam dan berakhir pada jam 10.30 malam. Pada awalnya ia dirancang bermula jam 7.30 malam dan berakhir jam 9.30 malam namun ia terpaksa dimulakan lewat kerana menunggu kehadiran orang-orang kampung dan ada juga yang masih makan dan sebagainya.
Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk memberi sijil sebagai penghargaan kepada para pelatih dan jurulatih kerana berjaya menghabiskan latihan ini yang telah dijalankan selama 6 bulan. Ia juga adalah untuk menarik perhatian masyarakat kampung terutamanya para belia yang masih kurang sedar dan tidak tahu tentang program ini.
Banyak acara-acara menarik yang dapat diselitkan dalam masa yang agak singkat ini seperti ucapan daripada ketua jurulatih, wakil-wakil kampung serta nasihat dan harapan dari Institusi Mairaknak yang lebih berpengalaman dalam hal-hal kampung. Selain daripada itu, terdapat juga persembahan tarian dari belia SPNS serta pelatih itu sendiri.
Walaupun majlis ini kelihatannya agak kecil dan ringkas namun ia meriah kerana mendapat sokongan dari ibubapa pelatih masing-masing serta penduduk Kg.Chang sendiri.
Saya yang bertugas sebagai pengacara majlis pada malam itu merasa bangga kerana kami dapat jayakan majlis pada malam itu.

Friday, March 20, 2009

Adakah Ini Permulaan Kemusnahan?


17 Mac 2009 jam 10.25 pagi bertempat di Kampung Chang Sungai Gepai. Ketika 5 orang bapa sedang sibuk mengukur keluasan tapak dewan kampung dan 2 orang ibu sedang melayur mengkuang, datang dua orang luar yang tidak dikenali. Mereka dihantar oleh penghulu Kampung Chang Baru iaitu kampung yang bersebelahan dengan Kampung Chang Sungai Gepai. Penghulu tersebut memberitahu bahawa dua orang luar itu ingin bertemu dengan ketua kampung di kampung itu untuk membincangkan tentang hal tanah. Maka penghulu itu telah menghantar mereka ke Kampung Chang Sungai Gepai kerana Kampung Chang Sungai Gepai merupakan kampung asal di kawasan tersebut.

Seorang daripadanya memperkenalkan dirinya dengan nama Mat dan seorang lagi tidak memberitahu namanya. Mat berbangsa Melayu dan seorang lagi berbangsa Cina. Mereka datang dari Ipoh dengan menaiki kereta Pajero Kelabu bernombor BDV7915.

Tujuan mereka datangn adalah untuk bertanya perihal kawasan tanah di kawasan atas air terjun. Menurut mereka kawasan itu adalah tanah kerajaan dan mereka hendak membalaknya. Oleh itu mereka ingin meminta kebenaran penduduk kampung di situ untuk mengambil dan mengeluarkan balak dari kawasan tersebut.

Bek Sima selaku pengerusi pertubuhan kampung menegaskan bahawa secara terus terang penduduk kampung tidak membenarkan kawasan itu dibalak. Tiada tanah kerajaan di kawasan itu. Bagi penduduk kampung yang telah lama tinggal di kawasan ini menganggap itu adalah tanah adat Kampung Chang Sungai Gepai. Terdapat banyak cerita dan sejarah di kawasan itu. Terdapat juga kubur-kubur nenek moyang di kawasan itu. Maka penduduk kampung memang tidak membenarkan pihak luar membalak di akwasan itu.

Beberapa orang penduduk kampung termasuk penghulu Kampung Chang Sungau Gepai yang sedang menjalankan tugas harian mereka mula datang ke tempat perbincangan itu untuk turut mendengar perkara-perkara yang hendak dibincangkan namun dua orang luar itu tidak mahu berada lama di situ. Mereka bergegas pulang kerana kononnya ada tugas di Ipoh. Mereka pulang jam 10.38 pagi.

Thursday, March 19, 2009

Salam Sejahtera

Salam sejahtera kepada para pelayar setia blog ini. Saya memohon maaf kerana telah senyap untuk beberapa tempoh yang agak lama. Ini kerana saya telah bertugas di luar kawasan pejabat maka masa untuk saya menambah cerita dalam blog ini agak kurang. Namun saya tidak akan menghampakan anda semua di luar sana. Saya akan memasukkan cerita-cerita yang penting yang berlaku di kampung kini dan di masa-masa yang seterusnya.
Semoga para pelayar setia di luar sana dapat bersabar.
Sekian.

Sunday, January 25, 2009

Bengkel Latihan untuk Jurulatih

Pada 19-21 Januari 2009, bertempat di Tadika Komuniti Kg.Chang Lama Sg.Gepai telah dijalankan 1 bengkel iaitu Bengkel Latihan untuk Jurulatih. Bengkel ini telah disertai oleh 5 orang staff SPNS dan mampu untuk menjadi seorang jurulatih. Bengkel ini telah diselaraskan oleh 2 orang ketua jurulatih dari Sabah.
Tujuan bengkel ini adalah untuk melatih para jurulatih berkenaan cara-cara untuk melatih para pelatih yang kini sedang menjalankan latihan membangun masyarakat di tempat yang sama.
Ketika menjalankan bengkel ini, para pelatih yang sedang mengikuti latihan ini telah pergi ke sesi lawatan pendedahan di lapangan iaitu di 2 kawasan. Kawasan yang pertama ialah Kg.Ulu Geroh,Gopeng dan manakala kawasan yang kedua ialah Kg.Pos Bersih. Kedua-dua kawasan ini dipilih sebagai tempat lawatan pendedahan kerana kawasan ini mempunyai isu yang sangat bagus untuk didedahkan kepada para pelatih yang baru dan memerlukan pendedahan tentang isu-isu yang realiti yang dihadapi oleh komuniti Orang Asli sendiri.
Lawatan ini memberi ruang kepada para jurulatih untuk menjalankan bengkel ini sebagai langkah untuk memperbaiki cara-cara melatih dan mendidik pelatih.
Saya penulis blog ini adalah juga merupakan salah satu dari kumpulan jurulatih tersebut. Bagi saya, bengkel ini sangat bagus dan memberi ruang baru dalam hidup serta tugas saya sebagai seorang pembangun masyarakat. Bagi saya, ini merupakan peluang yang tidak mungkin saya perlu lepaskan kerana peluang yang akan memberi saya banyak pengalaman serta pelajaran yang tidak akan saya perolehi dimana-mana pusat pengajian tinggi pun.
Bengkel ini dijalankan dalam masa yang agak singkat namun semua topik sesi yang dijalankan sangat bagus. Walaupun kelihatannya agak sukar dan susah namun itu bukanlah sesuatu yang boleh menghalang daripada melakukan tugas sebagai seorang jurulatih pelatih membangun masyarakat.

Tuesday, January 13, 2009

Bengkel Dokumentasi Grafik

Pada 12 Januari 2009, bertempat di Tadika Komuniti SPNS Kg.Chang Lama telah berjalan satu bengkel yang dinamakan Bengkel Dokumentasi Grafik. Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk mempelajari tentang teknik menghasilkan rekabentuk grafik dengan menggunakan komputer. 2 perisian telah digunakan iaitu Microsoft Publisher dan Adobe Photoshop. Microsoft Publisher digunakan untuk membuat flyers dan brochure manakala Adobe Photoshop digunakan untuk mengedit gambar.

Bengkel ini dijalankan selama 2 hari yang dikendalikan oleh 2 orang jurulatih iaitu Afida dan Fiqty dari Organisasi Pakatan Baju Rakyat.

Seramai 10 orang belia telah mengikuti bengkel ini. Mereka terdiri dari pelatih pembangun masyarakat dan kakitangan SPNS.

Menurut salah satu belia yang mengikuti bengkel ini, dia mengatakan bahawa bengkel ini sangat bagus kerana ini merupakan pengalaman yang pertama menggunakan komputer untuk membuat flyers.

Selain daripada itu, belia amat seronok ketika belajar menggunakan perisian Adobe Photoshop kerana mereka boleh mengubah gambar dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

Di hujung pembelajaran, para belia di nasihatkan agar terus mempraktikkan topik-topik yang telah dipelajari agar mereka tidak lupa.

Tuesday, January 6, 2009

Selamat Tahun Baru 2009

Selamat Tahun Baru 2009 kepada para pelayar setia blog ini. Semoga di tahun baru ini akan memberi semangat yang baru dan perubahan baru yang lebih baik kepada kita semua. Saya penulis blog ini memohon maaf jika sepanjang tahun lepas terdapat penulisan yang kurang memuaskan dan isi-isi yang kurang menyenangkan.

Apakah azam kita pada tahun ini? :-) Apapun yang kita impikan atau harapkan itu semoga dapat kita laksanakan dan capaikan pada tahun ini nanti.

Kepada para pelayar setia blog ini, terima kasih kerana anda setia dan selalu menyokong saya. Saya sangat gembira. Semoga Tuhan akan sentiasa memberkati kehidupan anda semua dan tugas-tugas anda semua lakukan.

Selamat Tahun Baru.